Rabu, 01 Januari 2014

Suami Isteri Didakwa Bunuh Anak Perempuan 5 Tahun



PETALING JAYA – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh anak perempuan mereka yang berusia lima tahun pada 13 September lepas.

Kontraktor Hiew Yook Cheang, 49, dan isteri Wong Yin Tinn, 37, didakwa membunuh Mabel Hiew Mun di No 20-3A, Jalan PJS 3/46, Sri Manja Square, Taman Sri Manja antara 7 petang 13 September dan 8 pagi, 17 September 2013 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pasangan itu hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin di depan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan dicatat.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 November untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang kontraktor cuba membunuh diri bersama-sama semua anggota keluarga dengan membakar arang di dalam rumah mereka di Taman Sri Manja hingga menyebabkan anak perempuannya lemas terhidu asap.

Bagaimanapun, kontraktor itu, isteri serta anak lelakinya yang berumur tujuh tahun terselamat.  – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar