Jumat, 27 Desember 2013

Remaja Ditahan Sorok Dadah


KOTA BHARU- “Itu bukan dadah saya encik,” kata seorang remaja lelaki berusia 20-an ketika ditahan dalam sekatan jalan raya pada Ops Warta Khas di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, malam kelmarin.

Pemeriksaan mendapati remaja itu tidak mempunyai lesen memandu dan motosikalnya tiada cukai jalan.

Lebih mengejutkan, anggota polis menemui sejumlah pil berwarna merah dipercayai pil kuda di dalam kotak rokok di dalam poket seluarnya.

Ketika disoal siasat polis, remaja terbabit menafikan dadah itu miliknya, malah menuduh anggota polis sengaja mengenakannya dengan memasukkan pil itu ke dalam poketnya.

“Itu bukan dadah saya, saya melarikan diri sebab motosikal tiada ‘road tax’ (cukai jalan), bukan sebab dadah,” katanya kepada polis.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Asisten Superintendan Ruslan Abd Rahman berkata, remaja itu pada mulanya ditahan kerana kesalahan trafik sebelum pemeriksaan lanjut menemui dadah dipercayai pil kuda.

“Remaja terbabit ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu dalam operasi bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam itu, Ruslan berkata, pihaknya berjaya mengesan lebih 12 pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap termasuk seorang yang mempunyai lima waran tangkap.

“Saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik lain seperti tiada lesen memandu dan tiada cukai jalan.

“Sebanyak 20 motosikal turut disita kerana pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai cukai jalan,” katanya. - Sinar Harian Online

Tidak ada komentar:

Posting Komentar